Mengenali Pelbagai Aliran Pemikiran Islam

Oleh: zain y.s (al-ahkam.net)

Ketika saya membelek2 kembali majalah2 dan artikel2 lama yg ada dlm simpanan, saya tertarik dengan satu artikel dari majalah siswa Indonesia di Mesir. Iaitu majalah Himmah, terbitan Mahasiswa Indonesia di Kairo, no. 13, tahun vii, sept-okt 1993. Di dalam ruangan Fokus Kajian, dimuatkan artikel mengenai aliran pemikiran Islam di Mesir. Saya merasakan isikandungannya penting. Sekalipun kita berada di Malaysia, dan artikel ini berkaitan dengan aliran pemikiran di Mesir namun jangan lupa, kita cukup banyak menerima tempiasnya. Contoh paling ketara ialah pengaruh al-Ikhwan al-Muslimin. Contoh lain, pengaruh aliran sekular Mesir pada seorang penulis tentang agama di akhbar arus perdana. Penulisan saya ini akan menggunakan asas dari artikel berkenaan dengan bantuan beberapa rujukan lain.

——————-

Artikel membahagikan pemikiran Islam di Mesir kepada 5 aliran, iaitu:

1. Aliran reformis tradisional

2. Aliran reformis moderat

3. Aliran Islam sekular

4. Islam radikal

5. Islam kiri

————-

1. Aliran reformis tradisional Aliran ini mempunyai beberapa ciri utama, iaitu:

i. Berpemikiran tradisional

ii. Mempunyai nilai reformasi

Terdapat beberapa kecenderungan yang dapat dilihat dalam aliran ini, iaitu:

– Menggunakan dasar hukum-hakam syariah dari usul feqh, qawaid feqh, qawaidul ahkam dan feqh. Mereka menyesuaikannya berdasarkan kepada tempat dan masa.

– Menggunakan tafsir bil maktsur (lawan bir rakyi = akal). Iaitu menafsirkan al-Quran menggunakan nash al-Quran atau dengan hadis nabi s.a.w. atau dengan perkataan sahabat atau tabiin.

– Mereka cenderung untuk tidak menafsirkan al-Quran berdasarkan pendekatan ilmiah. Kerana mereka berpendapat bahawa teori2 ilmiah bersifat nisbi kebenarannya, dan tidak berkesudahan. Teori-teori ilmiah membuka ruang kepada tindakan koreksi oleh teori ilmiah lainnya.

– Terhindar dari menafsirkan al-Quran berdasarkan hawa nafsu dan kepentingan peribadi. Mereka juga tidak menafsirkan al-Quran berdasarkan faham atau aliran tertentu. Mereka tidak fanatik dengan hasil kebenaran teorinya.

– Menerapkan sikap taabbudi terhadap hukum-hakam Islam berdasarkan kepada teks2 yang sharih (jelas). Dan mereka sering mengaitkannya dengan nilai keimanan dan balasan amal – dosa dan pahala.

– Aliran ini ada pengaruh kesufian. Ini dapat kita lihat dengan penekanan terhadap kualiti kerohanian.

– Memerdekakan akal dari pengaruh taklid dan khurafat.

– Mereka percaya bahawa keamanan dan keadilan sosial dapat dipraktik melalui perbaikan diri dari perbuatan2 buruk. Manakala jiwa hendaklah diisi dengan keagungan ALlah melalui zikir.

Antara tokoh2 yang berada dalam aliran ini ialah seperti Syeikh Mutawalli Syarawi, Syeikh Athiyah Saqr, Dr Ismail Diftar dan Dr Abul Wafa al-Taftazani. Kita akan dapat lihat dengan jelas aliran pemikiran ini di dalam kitab Ahsanul Kalam, tulisan Syeikh Athiyah Saqr.

2. Aliran reformis moderat (sederhana)

Aliran ini muncul adalah sebagai reaksi dari fenomena umat Islam hari ini yang sudah tidak selari dengan gambaran al-Quran, iaitu sebagai umat terbaik. Ia juga muncul sebagai alternatif kepada dua aliran Islam, iaitu aliran salafi yang mengajak kembali hidup ke-abad ke 6. Dan satu lagi ialah aliran sekular yang amat terpengaruh dengan barat. Intipati aliran ini dapat dilihat melalui kata2 Dr. Yusof al-Qardhawi “ingin menampilkan umat Islam yang mampu memimpin dunia modern dengan Islam.”

Antara isikandungan aliran reformis moderat:

– Ajaran Islam adalah ajaran yg universal dan komprehensif. Ia akan terus sesuai dipraktikkan hingga bila2 sekalipun berlaku perubahan zaman dan sosial. Secara mudahnya, Islam mengandungi ajaran yang lengkap di dalam semua aspek kehidupan. Ajaran yang sedemikian rupa telah dirancang oleh Allah dengan memberikan ketegasan dan perincian yang jelas dalam perkara2 akidah dan ibadah murni. Manakala dalam perkara2 muamalat dan hubungan sosial ia diberikan dalam bentuk kaedah2 umum dan global. Mereka mengatakan bahawa dalam persoalan yang telah jelas dan tegas ketentuannya hendaklah diterima. Tidak ada jalan utk berijtihad di dalamnya. Manakala dalam soal-soal yang ketentuannya masih global atau umum, golongan dari aliran ini tidak mahu terikat dengan hasil ijtihad mana2 mujtahid.

Mereka akan mengambil dari berbagai pendapat ulamak dan memilih mana yang sesuai dengan perkembangan zaman. Dengan ini, kita akan dapat melihat bagaimana hasil fatwa2 mereka nampak lebih fleksibel dan nampak keindahan Islam dapat diketengahkan dalam kehidupan masyarakat.

– Ketika mereka menyelesaikan masalah2 sosial umat Islam atau masalah2 kontemporari, mereka sering mengetengahkan prinsip2 ilmiah/rasional, maju, realistik dan berwawasan masadepan. Mereka masih tetap berpegang kepada metodologi ulamak2 klasik.

– Mengenai politik, mereka berpegang kepada slogan: “Islam din wa daulah” ertinya Islam, agama dan negara. Oleh itu, mereka amat mengimpikan sebuah negara Islam tertegak di tengah2 masyarakat Islam. Kerana, kewujudan negara Islam merupakan satu energi untuk mengaplikasikan ajaran Islam yg sempurna.

– Mereka menolak penubuhan negara Islam secara revolusi. Mereka memilih jalan reformasi. Aliran ini tidak menolak apa yang datang dari barat. Juga tidak menerimanya bulat2. Perkara buruk dari barat mesti dijauhi dan yang baik mesti dimanfaatkan. Ilmu sains dari barat hendaklah dipelajari agar umat Islam tidak ketinggalan dari arus perkembangan zaman.

– Mengenai kitab2 warisan hasil dari ijtihad para ulamak silam. Mereka mengatakan bahawa ia adalah hasil ijtihad pada zaman di mana ulamak berkenaan berada. Oleh itu, ia seringkali tidak bersesuaian dengan zaman modern. Aliran ini masih terus memanfaatkan kitab2 warisan lama ini, tetapi bukan dalam bentuk yang tersurat (tekstual) tetapi dalam bentuk yg tersirat (kontekstual). Mereka amat memanfaatkan methode yg digunakan oleh para ulamak silam dalam memahami Islam.

– Dalam hal ijtihad ulamak2 silam, mereka berpegang kepada prinsip: “Mereka manusa, kitapun manusia juga.” Bermaksud, sama-sama mempunyai hak utk mempersepsikan Islam. Dan, oleh itu mereka terus membuka pintu ijtihad kepada sesiapa yang berkemampuan.

Para tokoh yang berada di dalam aliran ini ialah Dr Yusof al-Qardhawi, syeikh Muhamad al-Ghazali, Dr Muhamad Imarah dan Fahmi Huwaidi.

3. Aliran Islam sekular

Di Malaysia, penganut faham sekular kebanyakannya tidak celik bahasa arab. Mereka tidak celek tentang kitab2 warisan ulamak silam. Mereka juga tidak menghafal al-Quran atau memahaminya. Kalau ada yang celik sedikit bahasa arab, mengerti serba sedikit kitab2 warisan ulamak silam, pasti mereka akan mengelak dari dicap sebagai sekularis apatah lagi mengaku secara terang2an. Sekularis Msia sering melarikan diri dari chop sekularis melalui istilah2 tertentu. Sebab itu kita dapat lihat istilah2 seperti menafsirkan semula al-Quran, toleransi, pelbagai kaum, islam sederhana, bertahap2 dsbnya. Bahkan! Yang terakhir, mereka sanggup pula mendabik dada mengaku diri mereka Islam Fudemantalis. Istilah2 ini bukanlah dlm erti kata sebenarnya, tetapi adalah pintu2 utk puak2 sekular Msia lari dari chop sekularis. Pada hakikatnya mereka adalah puak-puak sekular tetapi amat pemalu.

Ini berbeza dengan sekularis Mesir. Mereka dengan bangga membuat pengakuan terbuka “aku adalah seorang sekular!” Mereka ini sudah pasti celek bahasa arab. Jangan terkejut, mereka amat menguasai ilmu2 dan kitab2 warisan ulamak silam. Juga, mereka ini menghafal al-Quran serta memahaminya! Lihat apa yg dikatakan oleh Abdul Azim Ramadhan: “Aku adalah seorang sekular, tapi aku juga menghafal al-Quran sejak berusia sembilan tahun.”

Aliran ini sebagaimana namanya berpegang kepada dasar negara dan politik mestilah dipisahkan. Atau dunia dan agama hendaklah dijauhkan. Syeikh Ali Abdul Razik mempelopori aliran ini dengan tulisannya yg berjudul “Al-Islam Wa Ushulul Hukmi” (Islam dan prinsip2 pemerintahan). Di dalamnya, beliau membezakan antara Rasulullah s.a.w. sbg qadhi, penguasa dan rasul. Katanya, al-Quran sendiri menonjolkan Rasulullah s.a.w. sebagai penyampai risalah Tuhan. Oleh itu, katanya, mana ada pemerintahan, negara dan struktur kekuasaan. Oleh itu, baginda s.a.w. hanyalah sebagai pemimpin agama sahaja. Hasilnya, beliau berpendapat amat jauh hubungan antara agama dan politik. Bukunya ini dikecam oleh para ulamak al-Azhar. Namun, Ali Abdul Razik akhirnya bertaubat. Katanya: “Syaitan-lah yang telah menggoda aku untuk mengatakan bahawa Islam hanya sekadar agama kerohanian.”

Antara tokoh2 yg berada dalam aliran ini ialah, Thoha Husin, Najib Mahfuz, Fuad Zakaria, Muhamad Said al-Asymawi, dr Zaki Najib Mahmud dan lain-lain.

4. Islam radikal

Antara tokoh yang dianggap sebagai beraliran radikal ialah Syed Qutb dan Syeikh Umar Abdul Rahman. Syed Qutb di dalam bukunya Maalim Fit Tariq jelas menunjukkan aliran radikal. Baginya masyarakat dapat dibahagi kepada dua bahagian sahaja, iaitu masyarakat Islam dan masyarakat jahiliah. Dalam parti pula, hanya dua; hizbullah (parti Allah) dan hizbu syaithan (parti syaitan). Manakala pemerintahan pula, jika pemerintahan Islam ialah yang menjalankan syariat Islam sepenuhnya. Sedangkan yang separuh2 shj adalah pemerintah taghut yang dapat dianggap sebagai kafir di mana umat Islam wajib berjihad menentangnya.Bagi aliran radikal ini, manusia ini hanya ada hitam dan putih sahaja, tanpa ada warna2 lainnya.

Pembahagian hitam putih ini tidak dipersetujui oleh ramai ulamak, antaranya ialah Dr Yusof al-Qardhawi, Syeikh Muhamad al-Ghazali, Muhamad Imarah dan sejumlah tokoh2 al-Ikhwan al-Muslimin seperti Dr hasan al-Hudaibi, Umar al-Tilmissani, Dr Mustafa Hilmi dan Dr Muhamad al-Bahi. Bagi mereka ini, disamping hitam dan putih, bukankah ada warna2 lain lagi?

Majalah Himmah menyatakan beberapa punca mengapa munculnya aliran radikal. Disebutkan tiga faktor:

i. Al-Azhar tidak berfungsi sebagaimana mestinya Al-Azhar dengan usianya dan sejumlah besar para ulamaknya dipandang oleh masyarakat Mesir sebagai tidak serius mengatasi problem masyarakat Islam.

ii. Sikap kuku besi dan teroris pemerintah Pemerintah memberi ruang yang luas kepada penulis2 sekular untuk menghentam Islam melalui akhbar2 resmi kerajaan. Ini menambahkan dan menaikkan semangat pemuda-pemuda Islam. Emosi mereka jadi terbakar. Apatah lagi, apabila tuntutan mereka agar tulisan2 yang menghina Islam dihentikan segera tidak pernah dilayan langsung. Dan setelah pintu2 formal ditutup rapat2, maka sudah tentu pemuda2 Islam ini akan menggunakan jalan kekerasan sbg jalan keluar. Ketika itu, dapatlah pemerintah yg zalim ini menyalahkan mereka atas tuduhan melakukan keganasan. Pemuda-pemuda Islam ini diperangkap agar terjebak ke dalam jerat radikal dan keganasan.

iii. Kemunduran umat Islam Umat Islam suatu ketika dahulu pernah berada dizaman kegemilangan. Dan sekarang ini, mereka menduduki negara2 yang mundur dan miskin. Maka utk kembali kepada kegemilangan silam, mereka berpendapat tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada genarasi salaf secara bulat2 dengan segala macam bentuknya. Dengan cara ini Islam radikal merasa lebih Islam dari orang lain.

iv. Pemerintah yg tidak demokrasi Sikap pemerintah yg kononnya mengaku mengamalkan demokrasi, namun pada hakikatnya adalah sebaliknya. Ramai tokoh2 Islam yg menerima tekanan yg amat dahsyat apabila mereka mengemukakan pemikiran Islam mereka. Mereka ditangkap, dipenjara dan disiksa di luar batas peri kemanusiaan. Syed Qutb sendiri telah disumbatkan ke penjara tanpa pengadilan yg jujur. Mereka mengada-adakan tuduhan ke atasnya. Akhirnya beliau syahid di tali gantung. Ini menimbulkan reaksi yg seimbal dari pengikut2 Syed Qutb, iaitu kekerasan lawan kekerasan. Ada yg menuduh bahawa tafsir Syed Qutb Fi Zilalil Quran-lah yg menyebabkan munculnya aliran radikal. Ini dapat disangkal, bahawa radikal bukanlah disebabkan oleh buku2 sahaja. Yang lebih membuatkan tindak kekerasan diambil ialah apa yang dirasakan oleh masyarakat itu sendiri. Bukan hanya melalui buku. Sebab itu ada yang berpendapat bahawa jawapan utk mengatasi masalah radikal ini ialah dengan tawaran perlaksanaan syariah Islam dalam kehidupan dan politik. Kerana radikal bukanlah tujuan tetapi sebagai jawapan dari tindakan radikal pemerintah.

———

Kita di Malaysia sendiri pernah suatu ketika dahulu pengaruh radikal menyelusup masuk pada sebahagian pemuda2 Islam. Namun ia agak reda dan tenang dengan tersebarnya pemikiran2 sederhana dari tokoh2 al-Ikhwan, Dr Yusof al-Qardhawi dan Dr. Muhamad al-Bahi. Malah TG Hj Abdul Hadi sendiri pernah mengatakan bahawa sebagai manusia, pandangan syed qutb ada kelemahannya. Kelemahan ini nyata dalam bukunya Maalim Fit tariq, di mana beliau cuma membahagikan jenis negara kepada dua buah shj; negara Islam dan negara harbi. Padahal terdapat tiga jenis negara, iaitu negara Islam, negara harbi dan negara ahd. (Lihat Pemikiran Islam di Msia, Abdul Rahman Hj Abdullah, DBP, hal. 365) Untuk rujukan lanjut mengenai masalah ini, sila rujuk buku Pemikiran Islam di Msia, oleh Abdul Rahman Hj Abdullah, DBP.

————–

5. Islam kiri (al-Yasar al-Islami)

Tokoh terkemuka dari Islam kiri ialah Hasan Hanafi. Islam kiri mendakwa mereka adalah suara kaum tertindas.

Antara intipati ajaran aliran ini ialah:

– Mereka mengatakan bahawa tidak perlu lagi umat Islam ini disibukkan dengan mencari hujah tentang keesaan Allah. Kerana, ajaran syirik (fahaman yg mengatakan Tuhan banyak) telah dengan sendirinya runtuh. Sekarang ini apa yg perlu diperjuangkan ialah umat itu sendiri. Mereka perlu dibebaskan dari kemiskinan, kebodohan, penindasan dan penjajahan.

– Islam kiri selari dengan Muktazilah yang menghadirkan revolusi akal, dunia, alam dan kebebasan manusia.

– Mereka beranggapan bahawa golongan Asyairah yang selama ini dipegang oleh majoriti kaum muslimin sebagai penyebab kepada kemunduran umat Islam selama 9 abad. Aliran Asyairah menyebabkan pemikiran agama berat sebelah. – Islam kiri menolak sufisme malah memandangnya sebagai musuh. Pada anggapan mereka salah satu dari penyebab kemunduran umat Islam adalah pemujaan kaum sufi.

– Dalam ilmu hadis, prioriti yg mereka gunakan ialah kritik matan daripada sanad. Islam kiri menentang peradaban barat dan berusaha menggantikannya.

– Islam kiri berusaha mengembalikan kualiti umat dengan

i. Mewujudkan keadilan sosial,

ii. Membangunkan masyarakat bebas dan demokratis,

iii. Membebaskan palestin dan mengusir kolonialisme dari dunia Islam,

iv. Membangun kesatuan Islam yg menyeluruh,

v. merumuskan tindakan nasional dari pengaruh super power,

vi. Mendukung revolusi kaum tertindas. Revolusi mereka adalah revolusi Islam.

– Mereka mengatakan bahawa para nabi adalah para revolusioner. Revolusi tauhid dibawa oleh Nabi Ibrahim. Revolusi roh oleh nabi Isa. Revolusi orang miskin dan orang-orang malang dibawa oleh nabi Muhamad s.a.w. Untuk penjelasan lanjut mengenai pemikiran Islam kiri Hasan Hanafi, sila rujuk bukunya: al-Yasar al-Islami kitabat al-nahdha al-islamiyah.

———

Apa yang menarik mengenai Islam kiri ialah apa yang dikatakan oleh Hasan Hanafi “Islam kiri menyepakati lima prinsip Muktazilah (usul al-khamsah). Dan berusaha menghidupkan kembali prinsip muktazilah setelah ia tenggelam pada abad 5 hijrah, semenjak al-Ghazali menyerang ilmu2 rasional dan dominasi tasauf yang berganding dengan aliran Asyairah hingga masa gerakan reformasi Islam.” Katanya lagi: “Kita mendokong muktazilah kerana kita mengembangkan rasionalisme, kebebasan, demokrasi dan eksplorasi alam.”

Lagi katanya: “Untuk pengembangan rasionalisme Islam, kita mengkaji seluruh pemikiran alternatif sebagaimana pernah kita lakukan dahulu pada zaman keemasan, abad iv Hijrah. Sehingga Asyarisme tidak lagi membelenggu kita selama sembilan abad, bahkan hingga kini. Seolah2 Asyarisme menjadi satu-satunya pemikiran keagamaan dalam tradisi kita. Padahal, terhentinya pemikiran yang menyelimuti kita semenjak abad ke 7 merupakan tanggungjawab dari dominasi pemikiran Asyairah, kerana ia berubah menjadi ideologi politik. Keluar dari asyairah bererti kafir dan pengkhianat.” Kazuo Shimogaki telah melakukan telaah secara kritis mengenai aliran pemikiran Hasan Hanafi ini. (Lihat Kiri Islam, Kazuo Shimogaki, LKis)

Tentang serangan Hasan Hanafi ke atas al-Ghazali yang dikatakan telah menyerang ilmu2 rasional, Kazuo Shimogaki mengatakan bahwa yg diserang oleh al-Ghazali bukanlah ilmu2 rasional tetapi orang2 yang menyalahgunakan kajian ilmu2 rasional. Dalam masalah ini beliau menganggap Hasan Hanafi tidak menyiasat betul2 tentang latar belakang sejarah. Kata Kazuo Shimogaki lagi, tuduhan hasan hanafi yang mengatakan bahawa asyairah sebagai anti rasionalisme, ini adalah tidak benar. Kerana asyairah bukanlah anti rasional tetapi mengetengahkan ketidaksempurnaan akal dan adanya pengetahuan ghaib.

Sekian, semoga bermanfaat

Leave a comment

Filed under Uncategorized

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s