HIJRAH HINGGA NABI STABIL DI MADINAH

Hijrah Hingga Nabi Stabil Di Madinah

Bab ini dimulakan dengan kisah keberanian Umar Al-Khattab yang mencabar kaum Quraisy untuk menghalang beliau berhijrah ke Madinah. Akhirnya tiada sesiapa pun yang berani menyahut cabaran itu. Inilah bukti kekuatan dan ketegasan seorang pejuang islam yang betul-betul meyakini dirinya benar. Keberanian ini telah menyuntik kegentaran di hati musuh-musuh Islam.

Pun begitu, kaum Quraisy tetap menyusun konspirasi di Dar An-Nadwah untuk membunuh Rasullullah s.a.w pada malam penghijrahan baginda. Sang pengecut yang sudah menemui jalan buntu untuk menentang Rasulullah s.a.w itu merancang agar kesalahan itu akan dikongsi sama rata oleh semua kabilah, agar Bani Manaf tidak mampu untuk memerangi setiap satu antara mereka. Mereka menyangka rancangan mereka sempurna, tetapi Rasulullah s.a.w juga mempunyai strategi.

Ali r.a telah menggantikan Rasulullah s.a.w di tempat tidur baginda sebagai pengorbanannya. Aisyah dan Asma’ pula telah menyediakan barangan Rasulullah s.a.w dan bapa mereka untuk berhijrah. Terserlahlah peranan wanita sebagai pendokong perjuangan menegakkan Islam. Saidina Abu Bakar pula telah bersedia dengan tuggangan dan penunjuk jalan, serta menjadi teman yang setia sepanjang perjalanan.

Walaupun Rasullah s.a.w merancang berhijrah ke Madinah, baginda s.a.w sempat berpesan kepada Ali r.a untuk memulangkan barangan amanah pada keesokan harinya. Ini menunjukkan betapa jujur dan amanahnya baginda, dan sebenarnya kaum Quraisy sendiri amat meyakini sifat benar Rasulullah s.a.w tersebut. Namun, hati mereka telah dibutakan dunia dan diselubungi kedegilan.

Antara strategi Rasulullah s.a.w ialah mengupah seorang penunjuk jalan yang menunjukkan jalan yang jarang digunakan ke Madinah. Abdullah bin Abu bakar juga telah bertindak sebagai pengintip rancangan jahat orang Quraisy Mekah. Di dalam perjalanan terdapat beberapa rintangan seperti peristiwa di Gua Thur, di mana orang Quraisy telah mengejar baginda hingga ke pintu gua. Walaupun secara logik akan Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar boleh dikesan oleh golongan musyrikin, Allah telah menentukan bantuan sarang labah-labah dan burung, serta telah disekat pandangan mereka dari melihat Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar.Disini kita boleh mengambil pengajaran yang Allah menyelamatkan sesiapa yang dikehendaki dan diredhaiNya seperti surah Ghafir ayat 51. Pada waktu itu terserlah kecintaan dan rasa prihatin Abu Bakar yang sangat risaukan keselamatan Rasulullah s.a.w, namun Rasulullah s.a.w memujuk beliau dengan mengatakan, “Wahai Abu Bakar, kamu sangka (kita) berdua, sedangkan Allah adalah yang ketiga.” Keyakinan dan tawakkal seperti inilah yang patut kita sebagai pejuang contohi agar mampu menjalani cabaran dengan tenang.

Apabila Suraqah yang telah dijanjikan ganjaran untuk menjejak, menawan atau membunuh Rasulullah s.a.w menghampiri mereka dengan kudanya, sekali lagi Allah s.w.t telah menyelamatkan baginda dan membuktikan keRasulan baginda dengan membenamkan kaki-kaki kudanya, hingga tiga kali. Akhirnya beliau berjanji untuk membantu Rasulullah. Rasulullah menjanjikannya gelang Kisra, yang menjadi akhirnya benar-benar menjadi miliknya.

Ketibaan Rasulullah s.a.w pada 12 Rabiul Awal disambut dengan gembira dan alunan nasyid memuji baginda. Baginda telah membina masjid di setiap persinggahan baginda, di Quba’, di Wadi Raruna dan di Madinah, di mana unta baginda berhenti duduk. Ini menunjukkan pentingnya solat, berjemaah dan masjid sebagai sebuah pusat penyatuan masyarakat dan ummah. Rasulullah seterusnya mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Ia merupakan persaudaraan yang menagih pengorbanan bagi kedua-dua pihak, tetapi telah membuahkan ukhwah yang sejati.

Seterusnya, Rasulullah telah menggubal Piagam Madinah, yang meliputi pelbagai aspek pembentukan negara Madinah yang kukuh. Ia meliputi antaraya persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar, Rasulullah sebagai pemimpin dan hubungan antara orang Islam dan bukan Islam seperti Yahudi. Ia menunjukkan yang negara Islam ditubuhkan atas dasar keadilan, persaudaraan, jaminan sosial dan nilai-nilai Islam. Aspek ini jugalah yang mesti kita dokong sebagai iktibar dan berusaha untuk menubuhkan negara Islam kita atas dasar-dasar yang sama.

Sesungguhnya, dengan terteguhnya negara Madinah itu telah membuktikan bahawa hijrah Rasulullah s.a.w bukanlah atas dasar melarikan diri atau takut mati tetapi sebagai satu strategi untuk mengembangkan agama Islam dan meraikan jemputan penduduk Madinah.

1 Comment

Filed under Buku, Sirah Nabawiyyah

One response to “HIJRAH HINGGA NABI STABIL DI MADINAH

  1. farhana

    thanx.this article help me a lot to understand more about hijrah Rasulullah S.A.W

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s